BERITA PIALA DUNIA 2018 : TUAN RUMAH RUSSIA TUMPAS KE SEPARUH AKHIR DI TANGAN CROATIA
PULUHAN ribu penyokong Croatia meraikan kejayaan mara ke separuh akhir apabila menewaskan tuan rumah Russia hari ini.
Perlawanan di Sochi berhampiran Laut Hitam menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa tambahan namun Croatia menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 dengan pemain Barcelona, Ivan Rakitic meledak jaringan penting.
"Russia sudah tewas! Berpeluklah, menangis...Croatia antara empat pasukan terbaik dunia," kata pengulas televisyen siaran HRT.
Mereka menyambutnya penuh kegembiraan, ratusan mercun dinyalakan dan bendera Croatia dikibarkan dengan dianggarkan 15,000 penyokong meraikan kejayaan kapten Luka Modric dan rakan sepasukannya di dataran utama Zagreb, lokasi mereka menyaksikan perlawanan menerusi skrin gergasi.
Ribuan lagi mewarnakan tubuh mereka dengan warna merah dan putih meraikan kejayaan di zon penyokong di pusat bandar dan lokasi lain.
"Teruskan permainan Croatiaku, apabila aku melihatmu, hatiku membara penuh semangat!" demkikian lagu popular yang kedengaran di dataran dan jalanan seluruh negara.
"Hrvatska! Hrvatska! (Croatia)” jerit penyokong manakala pemandu menekan hon dengan pesta berterusan sepanjang malam.
"Kita semua perlu berbangga. Ia adalah perkara yang luar biasa," kata jurulatih Zlatko Dalic kepada HRT.
"Kami berhak menang. Ia perlawanan sukar dengan 50,000 penyokong di stadium...Adalah menyedihkan untuk tidak ke Moscow apabila berada di Russia."
No comments:
Post a Comment